Suka duka kembar tiga

TELATAH mereka cukup mencuit hati. Seorang menjerit, seorang bersorak manakala seorang lagi memasukkan jari ke dalam mulut sambil `membebel.' Sambil tersenyum, si adik menepuk kepala kakak, tetapi kakak yang menoleh langsung tidak marah, cuma tersenyum sambil bersorak girang.
Sejak lahir, mereka sudah berteman, bukan berdua tetapi bertiga. Memang seronok melihat gelagat kembar tiga, Nur Qalesya, Nur Farisya dan Nur Aleesya, 10 bulan, yang comel dan ceria. Bagi yang melihat, memang menyeronokkan tetapi bagaimana pula ibu dan bapa yang menjaga mereka? Membesarkan tiga bayi kembar bukan sesuatu yang mudah. Selepas melahirkan kembar tiga, Fatmawaty A Dalle, 35, sudah terbiasa tidur cuma tiga jam sehari. Jika seorang bayinya menangis, seorang akan menyusul dan diikuti seorang lagi.

Apapun, kelahiran bayi kembar tiga berkenaan membawa seribu satu rahmat kepada Fatmawaty dan suami, Noor Sazalli Mohd Sahari, 38. Ini kerana, Fatmawaty sebelum ini pernah dua kali mengandung luar rahim yang menyebabkan kedua- dua tiub fallopio terpaksa dibuang. Kali pertama Fatmawaty mengandung luar rahim iaitu di tiub fallopio kiri pada 2005 dan kedua, di tiub fallopio kanan (2009). Disebabkan ketika hamil dia mempunyai masalah sista (cyst), doktor mencadangkannya melakukan kaedah Tabung Uji (IVF) untuk hamil. Untuk memastikan dia sihat ketika hamil, Fatmawaty yang ketika itu bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat makanan sejuk beku, mengambil keputusan berhenti kerja untuk menjaga kesihatannya.

Ketika kandungan tujuh bulan sehingga melahirkan bayi, dia ‘berumah tangga’ di hospital untuk pemantauan tahap kesihatan. Berat badan Fatmawaty meningkat daripada 56 kilogram (kg) kepada 96 kg pada bulan terakhir kehamilan.

“Alhamdulillah, semua bayi sihat. Apapun, pengalaman menjaga mereka bertiga pada mulanya agak mencabar. Qalesya dan Farisya kuat menangis dan kalau mula menangis, bergilir-gilir sampai ke pagi. Berjaga malam menjaga bayi perkara biasa tetapi suami banyak membantu.

“Ketika di hospital, ketiga-tiga bayi diberi susu serentak dan apabila dibawa pulang ke rumah, tabiat berkenaan berlarutan menyebabkan saya tidak cukup tangan untuk menyusukan mereka,” katanya yang memberikan susu badan dan susu formula kepada tiga puterinya
.


Untuk perbelanjaan kembar tiga itu, Fatmawaty dan suami yang turut mempunyai anak lelaki, Fadlin Naufal, 5, terpaksa membeli 16 tin susu seberat 900 gram sebulan selain tiga sorong bayi, tiga ‘walker’ dan tiga pasang pakaian yang sama.

Mereka membelanjakan kira-kira RM2,000 sebulan untuk membeli lampin, susu formula dan pakaian untuk kembar tiga berkenaan. “Ketika dalam pantang, seorang bayi perlu menukar 10 lampin sehari kerana kulit mereka sensitif. Saya menghantar cadangan kepada syarikat Disposable Soft Goods (M) Sdn Bhd, pengeluar lampin pakai buang bayi Pet Pet sama ada mereka boleh menaja lampin untuk kembar tiga kami.


“Bermula Jun lalu, Pet Pet bersetuju menaja lampin pakai buang untuk bayi kami selama enam bulan,” katanya.

Ketika membeli-belah, kembar tiga berkenaan sering menjadi perhatian. Ramai yang menyapa dan mengambil kesempatan bergambar dengan Qalesya, Farisya dan Aleesya.

“Ketika dalam kandungan, Qalesya dan Farisya berkongsi karung dan uri yang sama, manakala Aleesya karung dan uri yang lain. Sebab itu, kalau kita lihat, wajah Qalesya dan Farisya mirip manakala Aleesya agak berbeza dan lebih mudah dicam,” katanya.

Ditanya sama ada dia pernah berdepan pengalaman menjaga bayi berkenaan ketika sakit, Fatmawaty berkata, pernah satu ketika, Aleesya demam dan mengalami jangkitan paru-paru dan sakit berkenaan kemudian berjangkit pada dua saudara kembarnya.

“Walaupun dilahirkan kembar, sebagai individu mereka mempunyai perangai tersendiri. Qalesya aktif dan jika mahukan sesuatu barang, dia akan mencapai dan memastikan berjaya mendapatkannya.

“Farisya yang lahir lebih awal daripada dua saudara kembarnya, serba-serbi lebih cepat dalam semua hal seperti menyusu, tumbuh gigi dan merangkak. Dia lebih mesra berbanding yang lain, merangkak ketika usia tujuh bulan dan kini sudah pandai berdiri dengan berpaut.

“Aleesya pula kurang mesra, enggan mengikut orang tidak dikenali dan lebih kuat menangis,” katanya.