Fesyen kedai merah jambu

WARNA merah jambu sinonim dengan kanak-kanak perempuan kerana ia melambangkan ciri-ciri feminin dan lemah-lembut.
Jika berbicara mengenai warna ini dalam rekaan fesyen pakaian dan aksesori, pasti ramai teringat kepada jenama popular Barbie.
Justeru, tidak hairanlah Barbie yang bukan saja sekadar terkenal dengan anak patung dilengkapi rupa cantik, tetapi ia sentiasa menyelitkan �rekaan fesyen menerusi �penggayaan pakaian atau solekan bagi membuatkan setiap koleksinya tampil terkini dan tidak ketinggalan zaman.

Barbie, hasil ciptaan Ruth Handler, membuat penampilan sulungnya pada 9 Mac 1959 di Pameran Alat Mainan New York. Hari ini, walaupun ia sudah berusia 52 tahun, fenomenanya tetap berterusan.Mahu imaginasi kanak-kanak tidak hanya bersarang di dalam fikiran saja, butik khusus Barbie kini memulakan operasi di pusat beli-belah Mid Valley, Kuala Lumpur.Digelar Barbie Store, butik itu berfungsi sebagai kedai sehenti untuk kanak-kanak atau remaja menikmati dunia fesyen dan kecantikan tanpa sempadan yang secara tidak langsung mengasah daya kreativiti mereka.

Dengan keluasan 2,800 kaki persegi, ruang luas itu dapat mewujudkan hubungan sejarah dunia Barbie dalam fesyen dan keunikannya yang mampu memberi inspirasi kepada kanak-kanak dan remaja perempuan.

Kedai ini mempunyai pelbagai aktiviti dan jenis permainan, produk gaya hidup termasuk fesyen, aksesori, beg serta alat tulis di bawah satu bumbung.

Antaranya adalah pentas peragaan fesyen di mana mereka boleh membuat pertunjukan pakaian yang diambil dari dalam almari Barbie di samping mengabadikan potret mereka lengkap berpakaian serba indah di studio foto.

Mereka juga boleh menempah pakej hari jadi bagi meraikannya bersama rakan dan keluarga.

Untuk maklumat lanjut, layari www.barbiestore.com.my atau www.facebook.com/barbiestoremalaysia atau hubungi 03-22831139.