Remaja juga berisiko


  1. BARAH pangkal rahim atau lebih dikenali sebagai kanser serviks adalah barah ketiga paling tinggi menyerang wanita di negara ini. Antara faktor risiko penyakit barah pangkal rahim disebabkan kehadiran antibodi kepada virus papiloma manusia (human papilloma virus - HPV), kumpulan virus sama yang menyebabkan ketuat kelamin (genital wart).
    Di Malaysia, masih ramai wanita kurang mengambil berat mengenai kanser pangkal rahim, sedangkan ia perlu pencegahan awal iaitu pada usia meningkat remaja seawal 13 tahun.
    Kerajaan memperuntukkan RM150 juta untuk memberikan pelalian HPV kepada remaja dan tahun ini, dianggarkan 300,000 remaja perempuan di tingkatan satu disuntik pelalian itu.

    Senario itu memperlihatkan kerajaan prihatin dengan masalah kanser serviks atau barah pangkal rahim yang menyerang wanita, termasuk remaja yang bakal menjadi dewasa.


    Pada masa sama, kanser serviks jenis kanser ketiga paling lazim dihadapi wanita Malaysia selepas barah payudara dan kolorektal.

    Jika dilihat statistik peringkat dunia, setiap dua minit, wanita maut akibat kanser serviks. Statistik itu agak menggerunkan, terutama dengan perubahan gaya hidup masyarakat moden.

    Berikut soalan yang biasa ditanya masyarakat mengenai kanser serviks.



    Apakah kanser serviks?


    Kanser yang terjadi pada pangkal rahim juga kanser ketiga paling kerap dikesan di kalangan wanita selepas kanser payudara dan kolorektal. Dianggarkan 1,500 wanita negara ini disahkan mendapat kanser serviks setiap tahun. Ia merupakan enam peratus daripada jumlah kematian akibat kanser di kalangan wanita.


    Apakah HPV?

    HPV penyebab utama kanser serviks dan setiap wanita berisiko dijangkiti selepas berkahwin.


    Apakah pelalian HPV?

    Pelalian diberi bagi mencegah kanser serviks akibat jangkitan HPV. Pelalian ini diberi secara suntikan di lengan tiga kali dalam tempoh enam bulan mengikut jadual. Vaksin digunakan untuk pelalian ini tidak mengandungi produk meragukan.
  2. Suntikan pertama: tarikh pelalian pertama diberi di sekolah atau klinik 

  3. Suntikan kedua: sebulan selepas suntikan pertama 

  4. Suntikan ketiga: enam bulan selepas suntikan pertama


    Mengapa gadis 13 tahun perlu mendapatkan pelalian HPV?

    Gadis berisiko dijangkiti HPV tetapi suntikan pelalian mampu melindunginya daripada kanser serviks pada masa akan datang. Kementerian Kesihatan memberi pelalian ini secara percuma kepada semua gadis berusia 13 tahun.


    Di manakah anak gadis saya boleh mendapatkan pelalian HPV?

    Jika anak gadis anda bersekolah, pelalian akan diberi di sekolah. Jika tidak bersekolah, boleh mendapatkannya di klinik kesihatan.


    Bagaimana jika anak gadis saya tidak termasuk dalam kumpulan sasaran untuk mendapatkan suntikan ini?

    Pelalian ini hanya diberi kepada remaja perempuan bersekolah di tingkatan satu atau berumur 13 tahun pada tahun semasa. Bagi golongan tidak termasuk dalam kumpulan ini, pelalian boleh didapati di klinik dan hospital swasta dengan kadar caj tertentu.


    Apakah peranan saya sebagai ibu bapa?

    Beri persetujuan bertulis bagi melayakkan anak anda menerima pelalian secara percuma sebanyak tiga suntikan pelalian. secara percuma yang mampu memberi perlindungan optimum untuk mengelak jangkitan HPV.


    Siapa yang akan memberi suntikan?

    Suntikan akan diberi oleh petugas kesihatan yang bertauliah dan terlatih.


    Adakah vaksin ini halal?

    Ya dan ia tidak mengandungi produk meragukan.


    Adakah anak gadis saya akan mengalami masalah selepas disuntik?

    Pelalian ini selamat. Seperti pelalian lain, anak gadis anda mungkin mengalami masalah sakit atau bengkak di tempat suntikan. Jika mengalami masalah lain akibat suntikan, sila dapatkan rawatan susulan di klinik atau hospital berdekatan.


    Adakah pelalian ini akan menyebabkan anak saya mandul?

    Tidak, ia tidak menyebabkan kemandulan.


    Apakah keadaan yang tidak membolehkan anak gadis saya diberi pelalian HPV?

    Anak anda tidak akan diberi pelalian atas sebab berikut: 

  5. Pernah mengalami kesan sampingan teruk selepas menerima suntikan pertama atau kedua 

  6. Pernah mengalami alahan teruk yang perlu dirawat di hospital 

  7. Hamil


    Apakah tindakan saya jika anak terlepas tarikh temujanji pelalian?

    Jika anak anda tidak sihat atau tidak hadir ke sekolah pada hari pelalian, tarikh temujanji baru akan diberi petugas kesihatan.


    Makluman tambahan

    Makluman lanjut mengenai pelalian HPV boleh didapati menerusi:

  8. Doktor atau anggota kesihatan di sekolah atau klinik 

  9. Tatapi laman sesawang www.myhealth.gov.my atau www.moh.gov.my 

  10. Hubungi hotline HPV 1800-88-1478


    Apakah jangkitan HPV dan apakah penyebab penyakit ini?

    Ia adalah antara pelbagai jenis penyakit kelamin di kalangan orang dewasa. Ia mungkin bercirikan ketuat pada bahagian kemaluan (yang kelihatan seperti isi buah anggur).

    Jangkitan pada pangkal rahim boleh menyebabkan barah pangkal rahim pada masa akan datang.

    Virus HPV adalah virus yang menyebabkan jangkitan pada kemaluan lelaki serta lapisan pangkal rahim wanita. Virus ini terdapat pelbagai jenis termasuk jenis enam dan 11 yang banyak menyebabkan ketuat pada kemaluan.

    Sebanyak 70 peratus daripada barah pangkal rahim disebabkan virus HPV jenis 16 dan 18.


    Apakah vaksin yang ada dan bagaimana vaksin ini diberi?

    Vaksin ini diperbuat menggunakan protein, setiap satu daripada empat jenis virus HPV yang menyebabkan penyakit serius. Ia diberi pada pangkal rahim sewaktu dewasa dan diberi melalui suntikan pada otot lengan bagi remaja dengan dos pertama pada usia 13 hingga 18 tahun. Dos kedua diberi dua bulan kemudian dan ketiga enam bulan selepas dos pertama.


    Siapa patut menerima vaksin ini?

    Ibu bapa boleh memberikan kebenaran untuk suntikan vaksin ini kepada anak remaja perempuan sebagai pelalian mengelakkan kanser ini.