Jangan sia-sia bakat!

PENAMPILAN kumpulan Sepah menerusi program realiti Raja Lawak musim ketiga pada 2008 mencetus fenomena tersendiri.
Trio yang dianggotai Mohd Nazdri Zainal Abidin atau Jepp, Shahmira Muhammad (Shuib) dan Mohd Noor Murad (Mamat) antara lain dilabel antara generasi pelapis berbakat.
Apatah lagi gandingan mereka dengan jenaka dan aksi spontan merangkul gelaran juara sulung Maharaja Lawak, baru-baru ini.

Selepas beberapa kali desas-desus mengenai perpecahan kumpulan itu menjadi bualan ramai, akhirnya Jepp dan Shuib tampil menjelaskan persoalan itu.



Tampil dengan kumpulan baru, Sepahtu tanpa kehadiran Mamat, Jepp memaklumkan keputusan berkenaan terpaksa dibuat biarpun berat hati untuk melakukannya.

Difahamkan keputusan itu dibuat selepas Mamat dikatakan berdepan masalah disiplin dan tidak dapat memberi komitmen kepada kumpulan.

Perpecahan kumpulan berkenaan turut mendapat maklum balas pelbagai daripada peminat dan karyawan seni.

Pelakon dan pelawak, Zainal Ariffin Abd Hamid atau Zaibo pernah mengeluarkan pelbagai kenyataan dan teguran kepada kumpulan itu ketika menilai setiap aksi persembahan pada program Raja Lawak.

Zaibo turut berasa sedikit kecewa dengan krisis yang melanda kumpulan berbakat besar itu.

“Saya pernah memaklumkan kepada mereka ketika salah satu minggu persembahan Raja Lawak bahawa adalah satu dosa besar kalau Sepah berpecah. Kenyataan menyindir itu mempunyai maksud yang mendalam kerana saya percaya bakat dan keistimewaan yang ada pada setiap anggota kumpulan itu.

“Memang bakat mereka tidak perlu dipertikaikan lagi. Saya akui tidak begitu rapat dengan mereka. Saya juga tidak tahu apa yang berlaku kepada mereka sebenarnya.

“Tidak dinafikan, setiap artis terutama apabila berkumpulan mempunyai pelbagai perangai dan ragam masing-masing. Terpulang kepada kita untuk mengatasi dan menyelesaikan setiap perkara serta masalah yang dihadapi,” katanya.

Sebagai insan seni senior, Zaibo memaklumkan kehidupan artis bagaikan satu putaran roda kadang kala di atas dan kadang kala di bawah.

Walaupun berdepan konflik, Zaibo memuji kesungguhan mereka untuk tidak mempersia-siakan bakat dan peluang yang ada.

Bagi aktivis teater dan pelakon terkenal, Fauziah Nawi memak�lumkan isu yang membabit�kan kumpulan itu adalah ibarat satu masalah rumah tangga yang tidak diketahui banyak pihak.

Masing-masing sudah pasti tahu mengenai kesan yang akan berlaku kepada perjalanan karier seni mereka pada masa depan.

“Mereka sudah dewasa dan tahu apa yang dilakukan. Apa yang lebih penting, selagi ia tidak menjejaskan minat dan kecenderungan mereka untuk terus mencipta nama dalam dunia seni.

“Mereka berjaya membuktikan kemampuan dengan kejayaan merangkul dua gelaran pada program realiti. Bukan hanya bersandar pada nasib, malah dengan bakat yang ada berjaya meletakkan mereka pada satu tahap yang tinggi. Ternyata mereka mempunyai keistimewaan dan tarikan tersendiri,” katanya.

Walaupun tidak mempunyai pengalaman bekerja dengan trio itu, Fauziah mengakui kumpulan itu berpotensi besar dalam dunia seni.

Senada dengan rakan artis, Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani berkata, Sepah dikenali sebagai trio, justeru, jika ia dibubarkan sudah pasti satu perkara yang agak me�nyedihkan.

Bagaimanapun, situasi itu tidak pernah menghalang pihak Astro untuk menutup ruang kepada sesiapa saja tampil menerusi program mereka.

“Sebagai salah satu daripada peserta Raja Lawak 2008 dan Maharaja Lawak musim ini, memang kami mengakui bakat mereka. Kami sentiasa menyarankan kepada mereka untuk tampil dengan kertas kerja masing-masing. Jika ia sesuai dan menarik, sudah pasti kami terima.

“Keutamaan kami adalah kepada pelanggan. Jika program itu menarik dan mendapat sambutan sudah pasti kami akan terus menyiarkannya,” katanya.