‘Saya bukan tiru Yuna’


MAHU PERGI JAUH...Najwa Latif bergandingan dengan kakaknya menghasilkan lagu.
MAHU PERGI JAUH...Najwa Latif bergandingan dengan kakaknya menghasilkan lagu.
PENYANYI GENERASI BARU...Najwa Latif berkebolehan menulis lagunya sendiri.
PENYANYI GENERASI BARU...Najwa Latif berkebolehan menulis lagunya sendiri.
DIA mengagumi Yuna dan menganggapnya antara penyanyi wanita berbakat pernah hadir di negara ini.
Justeru, sukar untuk Imratul Najwa Abdul Latif atau lebih dikenali sebagai Najwa Latif menafikan Yuna sebagai ikon atau inspirasi dalam perjalanan muziknya.
Pun begitu, jika dikatakan dia mahu menjadi klon Yuna, gadis berusia 16 tahun dan popular dengan lagu Cinta Muka Buku ini kurang bersetuju kerana dia percaya muzik mereka jauh berbeza.

Bagi Najwa, tidak adil dirinya dianggap klon Yuna jika kesamaan itu diukur melalui penampilan mereka yang bertudung.



“Saya akui amat mengagumi Yuna terutamanya pencapaian beliau dalam bidang muzik tempatan dan juga antarabangsa. Saya kagum dengan kemampuannya dalam bidang penghasilan lagu selain Yuna juga memiliki vokal yang baik.


“Harus saya akui, imej bertudung yang menjadi identiti Yuna membuatkan saya serta peminatnya yang lain bertambah kagum dengan�nya. Namun mengagumi tidak bermakna meniru.

“Genre muzik kami sangat-sangat berbeza. Malah, kalau ada yang menganggap imej bertudung ini sebagai meniru bagi saya itu tidak adil. Saya sudah lama memakai tudung

“Dari segi berfesyen, saya begitu tertarik dengan gaya diperkenalkan Hana Tajima. Pakaian dan gaya tudung cukup ranggi, tetapi masih memelihara kesopanan seseorang wanita Muslim. Saya percaya Yuna orang yang bertanggungjawab mempopularkan fesyen Hana Tajima di Malaysia,” kata gadis kelahiran Batu Pahat, Johor ini.

Perjalanan karier muzik Najwa bermula apabila dia mengambil pendekatan memperkenalkan muziknya menerusi laman Youtube sebagaimana dilakukan Zie Avie menerusi lagu Kantoi, Yuna (Dan Sebenarnya) dan Ana Raffali (Tolong Ingatkan Aku).

Tanpa disedari, lagu Cinta Muka Buku yang dicipta olehnya sementara sentuhan lirik oleh kakanya, Syafika mendapat perhatian pelayar laman itu sehingga akhirnya dilamar NAR Records.

“Melodi menjelma di kepala sewaktu saya sedang bermain gitar di bilik. Saya merakam�kannya ke dalam MP3 dan memaklumkan pada kakak yang saya dapat melodi menarik.

“Kebetulan masa itu kakak sedang melayari laman sosial, Facebook (FB).

Kalau tidak silap, ada kawan baru kahwin dan mereka berkenalan melalui FB.

Jadi, kakak rasa topik perkenalan dalam FB sesuai dijadikan lirik untuk dipadankan lagu saya.

“Tambahan pula, FB laman sosial yang banyak manfaat jika digunakan secara betul dan sesiapa pun termasuk kanak-kanak juga ada FB. Justeru, ia berkait dengan gaya hidup masa kini,” katanya.

Sesudah kejayaan Cinta Muka Buku, Najwa kini dalam perancangan menghasilkan single kedua diberi judul Carta Hati.

Apa yang menarik lagu ini masih mengekalkan Syafika sebagai penulis lirik.

“Ada orang tanya apakah saya tidak mahu menggunakan khidmat penulis lirik profesional atau yang sudah ada nama? Saya bukan jual mahal atau tidak mahu cuba, tetapi saya percayakan bakat kakak menulis lirik walaupun dia masih baru.

“Usia kakak dengan saya cuma beza enam tahun dan kami berdua masih remaja jadi lirik-lirik yang dikarang oleh kakak bersesuaian dengan lagu dan perjalanan hidup saya sendiri,” katanya.

Mula bermain gitar sejak di tingkatan dua, Najwa yang mengikuti kelas muzik di Yamaha di Batu Pahat pernah dihadiahkan gitar oleh bapanya ketika dia memperoleh keputusan 7A 1B dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Barangkali ada yang terlepas pandang berita kejayaan Najwa yang dipilih sebagai pemenang Anugerah Bakat Muda Selangor dalam bahagian muzik kategori solo menumpaskan dua finalis lain iaitu Amanda Imani dan Amirah Ali pada 17 September lalu.

Najwa sama sekali tidak menyangka memperoleh pengiktirafan berkenaan memandangkan penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Temenggong Ibrahim Batu Pahat ini sendiri merasakan ia terlalu awal.

Malah, katanya, dia belum bersedia menghadapi cabaran anak seni dan sangat bimbang serta takut sekiranya namanya dipalit gosip yang tidak membina.

“Saya takut sebenarnya, tapi dalam masa yang sama saya menceburi bidang nyanyian ini kerana ingin memperkenalkan muzik saya. Tetapi sekarang saya sedang belajar memahami permainan dunia seni.

“Kalau boleh saya ingin orang respons pada muzik saya saja, tetapi saya tahu ia mustahil. Sekarang ini pun orang sudah mula kenal, kalau keluar bersiar-siar ada yang menegur. Saya harap tidak lupa diri dan mahu kekal bersederhana seperti mana sekarang,” katanya.



Cinta Muka Buku

Kita berkenalan hanya dalam laman muka buku
Kau hantar pesan dan suruh aku terima kamu ooh..
Hati ku rasa sesuatu..

Dan pabila kau kata kau mahu jumpa aku
Ku gelisah berdebar hati rasa tak menentu oohh..
Benarkah rasa itu..

Bagaimana harus bersua
Ku rasa gementar tapi bahagia
Perlukah kita cari peluang pertama
Walaupun kita tak pernah berjumpa

Banyak persoalan yang berada di minda
Banyak tanda tanya dan juga kata kerja
Otak kata jangan hati pula kata ya
Hidup tak menentu adakah ini cinta

Banyak soalan banyak juga jawapannya
Kata hati dan rasa tak dibiar saja
Setiap yang berlaku ada kebaikannya
Harus pejam mata dan cuba apa saja

Pabila kau renung tajam-tajam mata aku
Ku rasa sesuatu rasa yang ku tak tahu Oooo...
Ini cinta remajaku

Dan pabila kau katakan kau suka aku
Ku terdiam terkedu tak tahu mana nak tuju Oooo...
Itulah cinta yang satu, cinta di muka buku..

Bagaimana harus bersua
Ku rasa gementar tapi bahagia
Perlukah kita beri peluang pertama
Walaupun kita tak pernah berjumpa

Banyak persoalan yang berada di minda
Banyak tanda tanya dan juga kata cinta
Otak kata jangan hati pula kata ya
Hidup tak menentu adakah ini cinta

Banyak soalan banyak juga jawapannya
Kata hati dan rasa tak dibiar saja
Setiap yang berlaku ada kebaikannya
Harus pejam mata dan cuba apa saja

Pabila kau katakan kau suka aku
Ku terdiam terkedu tak tahu mana nak tuju Oooo
Itulah cinta yang satu
Cinta di muka buku


PROFIL

NAMA PENUH: Imratul Najwa Abdul Latif
NAMA KOMERSIAL: Najwa Latif
TARIKH LAHIR: 23 Mei 1995
TEMPAT LAHIR: Batu Pahat, Johor
STATUS: Pelajar SMK (P) Temenggong Ibrahim, Batu Pahat, Johor
HOBI: Menghasilkan lagu dan bermain peralatan muzik gitar, dram dan piano
LAMAN SOSIAL: http://www.najwalatifs.blogspot.com/
FACEBOOK FANPAGES: najwalatif
TWITTER: @njwalatif
YOUTUBE: www.youtube.com/najwa595